Di sini ingin saya kongsikan bersama dengan anda semua tentang pengalaman saya membuang saka.
Kejadian ini berlaku pada tahun 2005 di sebuah kampung. Kebetulan pada waktu itu saya berada di kampung tersebut kerana ada satu urusan. Secara tidak langsung saya menziarahi kawan saya di sana, pada waktu itu ada satu keluarga yang berhampiran dengan rumah kawan saya menghadapi satu masalah.
Masalah mereka ialah ibu mereka sakit terlantar sudah dua minggu, kalau dilihat dari bentuk fizikal hanya tinggal kulit dan tulang sahaja tetapi bila makan cukup kuat. Dia hanya mahukan nasi dengan seekor ayam panggang setiap kali waktu makan. Bila tidak diberi pasti dia akan meraung dan menjerit-jerit.
Maka kawan saya memberitahu kepada saya apa yang terjadi. Apabila keluarga sipesakit tahu saya ada di situ maka mereka meminta agar saya cuba tolong ikhtiarkan. InsyaAllah saya akan mencuba.
Apabila saya melihat keadaan ibu yang sakit itu.....masyaAllah saya terkejut besar, memang benar apa yang diceritakan oleh kawan saya pada saya. Betul-betul hanya tinggal kulit dan tulang sahaja. Bila si ibu yang terlantar itu melihat saya, dia terus marah-marah dan menyuruh anaknya menghalau saya dari situ.
Dengan izin Allah saya cuba berikhtiar dan berusaha memohon kepada Allah agar diberikan kemudahan kepada saya untuk merawat ibu yang sakit itu. Alangkah terkejutnya saya dan keluarga serta orang-orang yang ada di situ melihat keadaan ibu yang sakit itu. Setelah saya membaca ayat-ayat al-Quran ibu itu mengelupur serta menjerit-jerit selama beberapa minit dan dengan kehendak Allah swt ibu itu telah menghembuskan nafasnya terakhir... tetapi alangkah terkejutnya kami semua bila jenazah si ibu tadi tiba-tiba berbau busuk dan berulat.
Bila saya mengamatinya ternyata ibu ini sudah meninggal lebih seminggu. Rupa-rupanya jasad si ibu tadi telah didiami oleh saka (makhluk halus). Maka jenazah ibu itu telah selamat disempurnakan oleh penduduk kampung di situ dengan sempurna.
Inilah pengalaman yang tak dapat saya lupakan. Dari peristiwa itu saya ingin berpesan kepada para pembaca semua, sekiranya ada ahli keluarga yang mempunyai saka, maka jangan dibiarkan saka mengawal perjalanan hidup kita.
Berusahalah untuk membuangnya. Saya terpaksa merahsiakan dimana kampung yang maksudkan tadi. Cuma kita boleh jadikan pengalaman saya ini dapat memberi satu pengajaran kepada kita semua. Banyak lagi pengalaman - pengalaman saya yang akan saya ceritakan lagi. INSYAALLAH.